>

Mitos Dan Fakta Pemakanan

Oct 25, 11 Mitos Dan Fakta Pemakanan
No Gravatar

Amalan pemakanan haruslah berasakan fakta bukan kekarutan.

Tabiat makan dan pengetahuan mengenai makanan sering diasakan dari tanggapan idea dan maklumat saintifik separuh betul. Kepercayaan yang sangat relevan adalah maklumat yang mempengaruhi kesempurnaan pemakanan dan ini termasuk kandungan zat makanan, kualitinya dan nilai-nilai kesihatan makanan tersebut. Kualiti adalah satu konsep yang kabur yang meliputi idea tentang kesegaran makanan, jenama, sifat dan makanan import. Kebanyakkan kepercayaan dan idea ini adalah tentang sesuatu makanan itu sama ada ianya baik, tidak baik, lebih baik bukannya terhadap sesuatu sajian hidangan. Lagipun kepercayaan ini berbeza dan berubah-ubah mengikut keadaan dan masa.

Berikut adalah fakta-fakta yang boleh digunakan untuk membetulkan kekarutan mengenai makanan.

MITOS 1

Makanan yang kurang karbohidrat adalah sangat baik untuk mengurangkan berat badan.

FAKTA

Makanan yang kurang karbohidrat tidak sepatutnya diberi nilai yang baik. Memang benar makanan yang kurang karbohidrat akan akhirnya mengurangkan berat badan. Walau bagaimanapun, penurunan berat badan tersebut adalah disebabkan kehilangan cecair (cecair ini akan diganti semula apabila sahaja seseorang itu mengambil balik makanannya yang biasa) dan makanan yang rendah karbohidrat ini sebenarnya membawa beberapa gejala kesihatan yang tidak baik.

Di beberapa tahun kebelakangan ini didapati babawa karbohidrat adalah mustahak dalam makanan dan jika seseorang itu dinafikan dari bahan ini akan mengalami masalah kelesuan, tekanan darah rendah (menyebabkan perubahan pada bentuk badanny, kehilangan nitrogen, cecair, natrium dan lain-lain material) dan ketosis ( lemak yang tidak hancur menyebabkan bahan ketone terkumpul dalam darah). Di samping itu, makanan yang dimakan kemungkinan tidak mengandungi serat secukupnya, yang diperlukan untuk usus berfungsi dengan baik. Pilihlah lebih banyak karbohidrat kompleks sebagai hidangan tetap anda.

MITOS 2

Berat badan saya selalunya lebih banyak dari yang tercatat dalam carta sebab tulang saya berat.

FAKTA

Perbezaan berat dalam jadual biasanya dibenarkan dan sebarang perbezaan pada saiz rangka boleh diterima kerana penambahan dan kekurangan sebanyak 10% dari berat badan idaman adalah dibenarkan.

MITOS 3

Sekeping roti bakar mempunyai kalori yang rendah berbanding dengan sekeping roti biasa.

FAKTA

Kandungan kalori roti bakar dan yang tidak dibakar adalah sama walaupun beratnya berbeza.

MITOS 4

Pemutih kopi sangat berguna untuk dijadikan makanan berkalori rendah atau berlemak tiruan.

FAKTA

Pemutih kopi tidak sesuai dijadikan pengganti sama ada susus atau makanan berkalori rendah atau berlemak tiruan. Pemutih kopi ini adalah krim bukan tenusu dan diperbuat dari minyak sapuan. Ianya tanpa kolesterol tetapi tinggi nilai lemak tepunya.

MITOS 5

Makanan berkanji seperti roti, bijirin dan kentang ’menggemukkan’, jadi ianya tidak boleh dimasukkan sebagai makanan atau diet yang boleh menguruskan badan.

FAKTA

Roti, bijiran dan kentang adalah murah dan ianya mengandungi protein dan beberapa jenis vitamin dan mineral. Makanan apapun jika dimakan berlebihan akan menambahkan tenaga yang tidak diperlukan. Untuk mencapai pemakanan yang seimbang jumlah roti dan bijirin yang cukup perlu dimakan setiap hari.

MITOS 6

Limau gedung ata Grapefruit ialah makanan yang dapat melansingkan badan kerana ia dapat membantu membakar lemak dalam badan.

FAKTA

Tidak ada makanan yang boleh disebut sebagai makanan yang dapat ’melansingkan’ badan. Walaupun limau gedung mengandungi nilai yang rendah kalori dan selalu dimasukkan sebagai makanan yang boleh mengurangkan berat badan, tetapi ia tidak boleh membakar lemak dan tidak memiliki kesan positif untuk melansingkan badan. Lemak dalam badan sama ada ia kekal tinggal dalam badan sebagai lemak atau akan digunakan sebagai tenaga terutama apabila keperluan tenaga oleh badan melebihi tenaga yang dibekalkan oleh makanan. Sebarang makanan yang rendah tenaga akan menyebabkan lemak di badan dibakar bagi mencukupi permintaan tenaga yang diperlukan.

MITOS 7

Madu lebah adalah ’makanan semulajadi’ yang baik untuk kesihatan, dan mujarab untuk penyakit jantung serta tidak menggemukkan.

FAKTA

Madu mengandungi 80% karbohidrat (dalam bentuk fruktos) dengan itu ia mempunyai nilai kalori yang tingi. Semua gula datang dari sumber semulajadi. Oleh sebab kandungan karbohidratnya yang tinggi, madu seperti juga lain-lain gula seharusnya tidak diambil oleh mereka yang memakan makanan rendah kalori.

MITOS 8

Lebih baik menggunakan madu dari gula.

FAKTA

Sebenarnya tidak banyak bezanya menggunakan madu ataupun gula. Kedua-duanya mengandungi karbohidrat yang tinggi (4 kalori/ 17kj setiap gram.) Terdapat sedikit zat di dalam madu tetapi oleh kerana jumlah yang diambil tidak banyak oleh itu tidak banyak memberi kesan.

MITOS 9

Pisang ’menggemukkan’ dan tidak boleh dimakan apabila kita mengamalkan makanan rendah kalori.

FAKTA

Pisang tidak mengandungi lemak tetapi seperti buah-buahan yang lain ia mengandungi karbohidrat yang tinggi. Sedikit sahaja pisang sama seperti satu sajian buah-buahan yang lain. Jadi ia boleh dimasukkan sebagai makanan yang mempunyai kandungan kalori yang rendah mengganti buah yang lain.

MITOS 10

Marjerin lemak poli tak tepu adalah kurang menggemukkan berbanding dengan mentega. Oleh itu, ia hendaklah digunakan bagi mengganti mentega dalam makanan berkalori rendah.

FAKTA

Marjerin lemak poli tak tepu dan mentega mempunyai nilai kalori yang sama. Kedua-duanya adalah sumber tenaga yang sangat padat dan hendaklah dihadkan dalam makanan yang berkalori rendah.

MITOS 11

Buah-buahan dan perahannya tidak ’menggemukkan’ dan boleh diambil tanpa had sebagai makanan yang dapat menguruskan badan.

FAKTA

Walaupun buah-buahan adalah sumber bagi vitamin dan serat, satu sajian buah-buahan (atau segelas perahan buah sebanyak 120ml) mengandungi karbohidrat lebih kurang sama banyak dengan 1 keping roti dan boleh mengeluarkan tenaga yang juga sama banyak. Oleh itu, seperti juga roti, buah-buahan juga hendaklah tidak dimakan berlebihan apabila mengamalkan makanan berkalori rendah.

MITOS 12

Adalah perlu dan penting kita mengambil zat-zat tambahan.

FAKTA

Makanan jika dipilih, disediakan dan dimakan dengan betul ia dapat membekal segala zat-zat makanan yang diperlukan sebagai pemakanan yang baik. Kumpulan makanan memberi panduan yang mudah untuk memilih jenis-jenis makanan yang dapat menjamin pengambilan zat yang cukup dan yang diperlukan.

MITOS 13

Mengambil sarapan pagi tidak penting.

FAKTA

Kajian-kajian yang dijalankan bagi menentukan nilai sarapan telah menunjukkan bahawa sarapan pagi adalah merupakan makanan yang membuka puasa semalaman, sudah pastilah ianya penting. Kajian ini juga menunjukkan bahawa individu yang melangkau sarapan pagi memilik prestasi yang lemah di waktu hampir tengah hari berbanding dengan mereka yang mengambil sarapan. Ia juga menunjukkan dalam banyak kes bahawa, snek yang dimakan di sebelah pagi tidak boleh menggantikan sarapan pagi dengan memuaskan. Adalah penting juga untuk mengambil sarapan yang seimbang.

MITOS 14

Adalah perkara biasa bagi seseorang dewasa itu meningkat berat badannya apabila umurnya meningkat tua.

FAKTA

Bukanlah perkara biasa bila berat badan seseorang itu meningkat apabila ia meningkat tua. Dalam banyak kes, apabila pertambahan berat badan berlaku mengikut umur adalah disebabkan kegagalan seseorang itu mengurangkan pengambilan tenaganya (misalnya mengambil makanan dan meminum arak) dengan aktiviti fizikalnya yang kurang dan kadar metaboliknya yang rendah Beratnya yang lebih itu ialah lemak.

MITOS 15

Biskut kering kosong tidak menggemukkan dan boleh diambil dengan kadar yang tidak terhad dalam makanan yang berkalori rendah.

FAKTA

Biskut kering bukanlah bebas dari kalori dan janganlah dimakan tanpa hadnya. Ia boleh dimakan menggantikan roti. Jika berbuat demikian, berwaspadalah supaya tidak lupa menambah lebihan kalori dalam bentuk lain seperti marjerin, daging, keju dan lain-lain.

MITOS 16

Minyak sawit adalah minyak tropika yang mengandungi asid lemak tepu, oleh itu ia akan meningkatkan paras kolesterol dalam darah.

FAKTA

Dalam konteks makanan seimbang biasa, minyak sawit ialah sumber tenaga penuh. Ia mengandungi 44% asid lemak tepu, 40% lemak mono tak tepu dan 10% asid lemak poli tak tepu. Minyak sawit bukanlah tepu sepenuhnya.

Minyak jagung adalah minyak poli tak tepu, sejenis asid lemak yang agak baik. Ia tidak mengandungi kolesterol seperti juga minyak sayur-sayuran yang lain. Sama seperti santan yang tidak mengandungi kolesterol. Walau bagaimanapun, untuk memiliki dan mengekalkan paras lipid darah yang sihat, adalah tidak dinasihatkan mengambil terlalu banyak salah satu jenis minyak atau lemak tersebut dalam makanan.

MITOS 17

Sayur-sayuran yang disimpan dalam peti sejuk adalah tidak berzat.

FAKTA

Sayur-sayuran adalah segar semasa ianya dalam proses disimpan di dalam peti sejuk. Pada setiap peringkat, ianya dikawal sebegitu rupa dan kehilangan zat-zat di dalamnya adalah terhad. Penguna – pengguna perlu berhati-hati akan cara-cara menyimpan dan memasak sayur-sayuran yang disejukkan ini supaya zat-zat yang terkandung di dalamnya tidak hilang semasa memasak di rumah. Adalah mustahak mematuhi arahan pihak pengeluar bagi mengurangkan kehilangan zat-zat yang ada.

MITOS 18

Ada minuman makanan khusus yang dikatakan sajian makanan sempurna dan berkesan untuk menguruskan badan.

FAKTA

Kebanyakan dari hasilan/ produk makanan mengandungi pelbagai jenis zat makanan dalam kandungan kalori tertentu. Jika ianya diambil seperti mana yang disyorkan, berat badan akan turun sebab pengambilan kalori dikurangkan. Walau bagaimapun, satu pelan yang sihat untuk menurunkan berat badan perlu dibuat secara perlahan-lahan dan mengekalkannya.

Ini hanya boleh dilakukan sekiranya tabiat makan seseorang itu diubahsuaikan. Minuman makanan khusus ini tidak boleh diubahsuai. Jadi ianya hanya menurunkan berat badan dengan cepat tetapi untuk waktu yang singkat sahaja. Bila minuman ini dihentikan berat badan akan kembali meningkat seperti biasa.

MITOS 19

Santan mengandungi kolesterol.

FAKTA

Santan seperti juga sumber minyak sayuran yang lain tidak mengandungi kolesterol. Walau bagaimanapun, ia adalah lemak tepu dan jika diambil terlalu banyak akan meningkatkan kolesterol darah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...Number of View :4288

" alt="468 ad" class="foursixeight" />

Leave a Reply

This site is using OpenAvatar based on
Content Protected Using Blog Protector Plugin By: Make Money.
Content and site protected by Cloudsafe365